NIAT CARA SOLAT JENAZAH Panduan Lengkap Rumi

Bagaimana cara mengerjakan solat jenazah?

Ini adalah panduan lengkap mengenai cara mengerjakan solat jenazah,

Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah sehingga selesai dan panduan ini diringkaskan agar mudah difahami.

Apa yang penting:

Panduan ini juga dipermudahkan dengan transliterasi rumi untuk membantu anda yang sukar membaca tulisan arab.

Maksud Solat Jenazah
Apakah maksud solat jenazah?

Solat jenazah bermaksud solat yang dilakukan oleh orang yang masih hidup kepada orang yang mati.

Tujuan solat ini adalah untuk memohon keampunan, keredhaan serta rahmat Allah untuk si mati.

Jenazah adalah perkataan arab yang berasal daripada perkataan dasar janaza ( جَنَزَ ) yang bermaksud menutupi, mengumpul atau meletakkan.

Jenazah ( جنازة ) pula bermaksud orang yang telah mati yang diletakkan di dalam usungan, dan akan dibawa ke kubur untuk dikebumikan.

Hukum Solat Jenazah
Apakah hukum solat Jenazah?

Menurut ijmak ulama, solat jenazah ke atas jenazah yang bukan mati syahid adalah fardu kifayah, iaitu bagi orang yang masih hidup di kawasan tersebut.

Sekiranya ada pihak yang telah melakukannya, walaupun seorang, maka terlepaslah kewajipan ke atas orang lain.

Ia sunat dilakukan secara berjemaah, namun sah apabila dibuat seorang diri.

Rasulullah SAW pernah mengarahkan sahabat-sahabatnya untuk sembahyang jenazah apabila ada kematian.

Berkata Salamah bin Al-Akwa’ RA:

> Pada suatu ketika kami sedang duduk di sisi Nabi SAW, lalu ketika itu dibawa jenazah. Baginda berkata: Solatlah sahabat kamu itu”

— Riwayat Bukhari
Sembahyang jenazah dilakukan oleh orang hidup ke atas orang yang meninggal dunia untuk meringankan bebanannya.

Ini kerana dalam solat ini mengandungi banyak doa-doa yang ke semuanya kembali untuk kebaikan si mati.

Oleh sebab itu, seharusnya kepada mereka yang mendirikan solat sembahyang mayat ini dirikanlah dengan ikhlas, penuh khusyuk serta berharap pengampunan Allah SWT kepada si mati.

Inilah tujuan terbesar solat yang kita lakukan

Rukun Solat Jenazah
Solat jenazah terdiri daripada 7 rukun yang mana jika salah satu daripada 7 rukun ini ditinggalkan – maka tidak sah solat jenazah tersebut, bahkan tidak sempurna tuntutan fardu kifayah.

7 rukun solat jenazah tersebut adalah:

Pertama: Niat

Wajib niat untuk melaksanakan Solat Jenazah sebagaimana diwajibkan niat bagi setiap jenis solat.

Niat solat jenazah merangkumi perkara-perkara berikut:

1. Niat solat hendaklah diqasadkan di dalam hati seiringan ketika mengangkat takbiratul ihram, yakni takbir yang pertama.

2. Disyaratkan agar menyebut “fardu” sahaja di dalam niat solat jenazah tanpa menyebut kifayah. Namun, terdapat juga sebahagian pendapat dalam mazhab al-Shafi’e mensyaratkan agar menyebut fardu kifayah di dalam niat solat jenazah bagi membezakannya dengan fardu ain.

3. Tidak menjadi syarat untuk menyebut nama si mati di dalam niat solat jenazah, seperti; “Sahaja aku solat ke atas jenazah si fulan bin fulan ini”

4. Jika jenazah tersebut ramai, maka memadai niat solat jenazah ke atas mereka semua sekalipun tidak diketahui bilangannya, seperti niatnya; “Sahaja aku solat ke atas seluruh jenazah ini…” Imam Khatib al-Syarbini berkata jika ditentukan niat untuk solat jenazah ke atas sepuluh orang jenazah tetapi ternyata jenazahnya ada sebelas orang, maka tidak sah solat tersebut dan perlu diulangi semula kepada semua jenazah tersebut. Sebaliknya jika ditentukan niat solat jenazah ke atas sebelas orang jenazah tetapi ternyata jenazahnya hanya ada sepuluh orang sahaja, maka sah solat jenazah tersebut kerana sudah merangkumi semua.

5. Bagi solat jenazah secara berjemaah, makmum wajib berniat untuk mengikuti imam meskipun niat imam dan makmum berbeza. Misalnya, imam berniat dengan menyebut fardu kifayah sedangkan makmum hanya berniat fardu sahaja; atau makmum berniat seperti; “Sahaja aku solat mengikut apa yang diniatkan oleh imam…”, maka sah niat seperti ini.

Kedua: Berdiri Bagi Orang Mampu

Berdiri bagi orang yang mampu merupakan salah satu daripada rukun solat jenazah sebagaimana berdiri juga menjadi rukun kepada solat fardu.

Jika mengalami keuzuran dan tidak mampu berdiri, maka diberi kelonggoran untuk solat secara duduk sama ada di atas kerusi atau di lantai.

Ketiga: Empat Kali Takbir

Solat jenazah adalah solat yang tidak mempunyai rukuk, sujud dan tasyahud. Maka, rukun utama solat jenazah adalah empat takbir termasuk takbiratul ihram. Empat takbir boleh dianggap sebagai rakaat bagi solat jenazah kerana setiap takbir memisahkan bacaan-bacaan yang tertentu.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa sebaik sahaja Nabi ﷺ mendengar kematian raja Najasyi, Baginda keluar ke perkuburan Baqi’ lalu mengangkat empat takbir.

Oleh kerana empat takbir ini menempati rakaat dalam solat jenazah, maka jika salah satu daripada empat takbir ini tertinggal, solat jenazah tersebut wajib diganti atau diulang semula.

Disunatkan mengangkat kedua-dua tangan sejajar dengan kedua-dua bahunya pada setiap takbir. Lafaz takbir adalah Allahu Akbar.

Keempat: Membaca Surah al-Fatihah

Bacaan surah al-Fatihah merupakan bacaan yang menjadi rukun dalam semua jenis solat sama da fardu, sunat, qada, jenazah dan solat-solat yang lain.

Kefarduan bacaan surah al-Fatihah sebagai rukun solat berdasarkan hadis Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin al-Samit RA:

“Tidak ada solat (tidak sah) bagi orang yang tidak membaca surah al-Fatihah” – Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ibn Abbas RA membaca surah al-Fatihah di dalam solat jenazah dan beliau berkata; Agar kamu semua mengetahui semua bacaan itu adalah sunnah Nabi ﷺ

Bacaan surah al-Fatihah dalam solat jenazah dibaca perlahan dan tidak dibaca kuat. Tidak perlu membaca surah selepas surah al-Fatihah kerana hal itu tidak disunatkan.

Selain itu, disunatkan agar dapat membaca ta’awudz sebelum memulakan surah al-Fatihah dan menyebut “amin” selepasnya.

Kelima: Membaca Selawat Ke Atas Nabi ﷺ

Membaca selawat ke atas Nabi ﷺ merupakan rukun dalam solat jenazah dan tidak sah solat jenazah tanpa membaca selawat.

Disyaratkan membaca selawat ke atas Nabi ﷺ adalah selepas takbir yang kedua dan sebelum takbir yang ketiga. Justeru itu, tidak sah solat jenazah jika selawat tidak dibaca selepas takbir yang kedua.

Bacaan selawat yang paling minimum:

اللّٰهُمَّ صَلِّ عَلَي مُحَمَّدٍ

Bacaan ke atas keluarga Nabi ﷺ tidak diwajibkan sebagaimana dalam solat-solat yang lain juga.

Bacaan selawat yang sempurna adalah Selawat Ibrahimiyah sebagaimana yang dibaca dalam tasyahud akhir.

Keenam: Mendoakan Keampunan Buat Si Mati

Mendoakan keampunan yang khusus buat si mati adalah rukun solat jenazah.

Inilah tujuan dan maksud utama pelaksanaan solat jenazah iaitu mendoakan keampunan dan kebaikan buat jenazah tersebut agar dosa-dosanya diampuni Allah SWT dan diterima segala amalnya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

> “Apabila kamu bersolat ke atas jenazah, maka ikhlaskan berdoa untuk si mati”

– Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah
Doa hendaklah khusus disebutkan untuk jenazah tersebut. Oleh itu, tidak memadai jika menyebut doa untuk kaum muslimin dan muslimat secara umum.

Bacaan doa khusus buat si mati:

i) Jenazah Lelaki

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاغْفُ عَنْهُ

ii) Jenazah Perempuan

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاغْفُ عَنْهَا

Disyaratkan bacaan doa hendaklah dibaca selepas takbir yang ketiga dan tidak sah solat jenazah jika doa buat si mati dibaca pada takbir yang lain.

Ketujuh: Memberi Salam

Memberi salam selepas empat takbir merupakan rukun solat jenazah sebagaimana salam menjadi rukun dalam solat-solat yang lain.

Ucapan salam dengan memalingkan muka ke arah kanan dan arah kiri.

Memberi salam adalah wajib sebagai tanda untuk keluar dari solat sebagaimana memasuki solat dengan takbiratul ihram.

Sunat memberi salam dengan suara yang nyaring (kuat).

Lafaz niat untuk solat jenazah lelaki dan jenazah perempuan adalah seperti berikut:

Niat Solat Jenazah Lelaki
Usolli ‘Ala Hazal-Mayyiti Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala

> Sahaja aku solat ke atas jenazah lelaki ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala.

Niat Solat Jenazah Perempuan
Usolli ‘Ala Hazihil-Mayyitati Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala

> Sahaja aku solat ke atas jenazah perempuan ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala.

Cara Solat Jenazah Lelaki & Perempuan

Cara sembahyang jenazah adalah TIDAK sama seperti solat-solat yang lain.

Perlu diingati bahawa solat ini TIADA rukuk dan sujud. Ia dilakukan secara berdiri sahaja dari awal sehingga akhir.

Cara mengerjakan Solat Jenazah adalah seperti berikut:

1. Berdiri tegak dan berniat untuk solat jenazah

Berdiri dengan tegak dan selesa. Mata memandang ke arah tempat sujud.

Semasa mengangkat takbir, bacakan niat solat dalam hati serentak.

Jika anda sukar niat serentak dengan takbir, anda boleh niat dahulu sejurus sebelum takbiratul ihram1

Niat boleh diucapkan dalam Arab mahupun Bahasa Melayu.

2. Membaca al-Fatihah.

Selepas selesai mengangkat takbiratul ihram, letakkan tangan di atas perut. Kemudian bacalah surah al-Fatihah.

> Bismillāhir-Raḥmānir-Raḥīm. Al-Ḥamdu Lillāhi Rabbil-‘Ālamīn. Ar-Raḥmānir-Raḥīm. Māliki Yaumid-Dīn. Iyyāka Na‘Budu Wa Iyyāka Nasta‘Īn. Ihdinaṣ-Ṣirāṭal-Mustaqīm. Ṣirāṭallażīna An‘Amta ‘Alaihim, Gairil-Magḍūbi ‘Alaihim Wa Laḍ-Ḍāllīn

Maksudnya:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

3. Angkat Takbir Kedua & Selawat

Setelah selesai membaca al-Fatihah, maka angkat takbir kedua.

Selepas takbir kedua, letakkan tangan kembali di atas perut.

Kemudian baca selawat ke atas Rasulullah SAW sekurang-kurangnya:

Allahumma Solli A’la Sayyidina Muhammad

Selawat yang paling baik yang boleh dibaca adalah Selawat Ibrahimiyyah.

4. Angkat Takbir Ketiga & Baca Doa Minta Ampun Untuk Jenazah

Setelah selesai membaca selawat, maka angkat takbir ketiga.

Selesai takbir ketiga, bacalah doa minta ampun untuk jenazah sekurang-kurangnya:

Doa Jenazah Lelaki
Allahumagfirlahu Warhamhu Wa ‘Aafihi Wagfu ‘Anhu

Maksudnya:

Ya Allah ampunilah dia dan rahmatilah dia, afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya

Doa Jenazah Perempuan
*Sekiranya jenazah perempuan tukarkan “hu” kepada “ha”

Allahumagfirlaha Warhamha Wa ‘Aafiha Wagfu ‘Anha

Maksudnya:

Ya Allah ampunilah dia dan rahmatilah dia, afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya

5. Angkat Takbir Keempat & Membaca Doa

Setelah selesai membaca doa jenazah, maka lakukanlah takbir keempat

Selesai takbir keempat, disunatkan membaca doa berikut:

*Tulisan hijau dalam kurungan adalah untuk jenazah perempuan

Allahumma Laa Tahrimnaa Ajrohu (AjRaHaa) WaLaa TafTinNaa Ba’Dahu (Ba’DaHaa)

Maksudnya:

Ya Allah janganlah Engkau mencegah kami mendapat pahalanya, jangan Engkau datangkan keresahan kepada kami sesudahnya, ampunilah kami dan si mati.

6. Memberi Salam

Selesai membaca doa di atas, akhiri sembahyang jenazah dengan memberi salam.

Kemudian bacalah doa selepas solat jenazah seperti yang dinyatakan pada bahagian di bawah ?

Doa Selepas Solat Jenazah

Selepas selesai memberi salam, maka disunatkan membaca doa ini:

Bacaan dalam kurungan (……) dengan tanda ‘*‘ adalah untuk jenazah wanita

> Bismillahi Rahmanirrahim

Alhamdulillahi Robbil ‘Alamin. Wassolatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil ‘Anbiya’i Wal Mursalin Wa ‘Ala Alihi Wa Sohbihi Ajmain.

Allahumma Bihaqqi Muhammadin Wa Ali Muhammadin Ala Tuazziba Hazal Mayyiti *(Mayyitati).

Allahummaj-‘Al Qobrohu *(Qobraha) Raudhotan Min Riyadhil Jannati Walaa Taj’al Qobrohu *(Qobraha) Hufratan Min Hufarinniirani.

Wasollallahu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Alihi Wa Ashaabihi Ajmain Walhamdulillahi Robbil ‘Alamin.

Maksudnya:

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad semulia-mulia rasul dan ke atas kaum keluarga serta para Sahabat sekalian. Ya Allah, dengan kemuliaan Nabi Muhammad dan ahli keluarganya, janganlah Engkau siksa jenazah ini. Ya Allah jadikan kuburnya sebagai taman daripada taman-taman syurga dan janganlah Engkau jadikan kuburnya sebagai lubang daripada lubang neraka. Selawat dan salam Allah ke atas Junjungan kami Muhammad, dan ke atas keluarganya serta para sahabatnya. Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam.

Hukum Menyebut Kebaikan & Keburukan Jenazah

Menjadi amalan kebanyakkan orang yang sembahyang jenazah, apabila selesai sembahyang, mereka memberi kesaksian mayat dengan kebaikan.

Misalnya, seorang daripada mereka berkata kepada yang lain: “Apa kata kamu kepada jenazah ini?”

Mereka menjawab: “Baik atau ahli kebaikan.”

Diulang-ulang penyaksian itu sebanyak tiga kali.

Pertanyaan akan timbul di kalangan kita, bolehkah penyaksian seperti ini dilakukan lebih-lebih lagi jika si mati terkenal dengan kefasikan dan kejahatannya semasa hidup.

Menurut al-Allamah Saiyid Muhammad Abdullah al-Jardani dalam kitab Fathu al-Allah, perkara ini ada asasnya daripada sunnah Nabi.

Tetapi kebanyakkan orang awam menolak penyaksian kebaikan kepada setiap mayat.

Mereka enggan menyaksikan kebaikan kepada mayat yang terkenal melakukan maksiat kerana dia tidak layak mendapat penyaksian tersebut.

Malah mereka lebih suka menyebut kejahatan mereka supaya menjadi peringatan kepada orang yang hidup supaya tidak melakukan kejahatan sepertinya.

Sebenarnya setiap mayat berhak mendapat penyaksian kebaikan walau apa pun keadaannya sama ada dia seorang yang diketahui baik atau jahat semasa hayatnya.

Bahkan dilarang menyebut kejahatannya.

Dalam hal ini Rasulullah bersabda yang maksudnya:

> Janganlah kamu sebutkan perihal orang yang mati di kalangan kamu kecuali yang baik-baik sahaja

— Riwayat Nasa’i
Sabda baginda lagi:

> Sebutkanlah kebaikan-kebaikan orang-orang yang mati di kalangan kamu dan tutuplah kejahatan-kejahatan mereka

— Riwayat Abu Dawud
Perkara Sunat Dalam Sembahyang Jenazah
Ini adalah beberapa perkara sunat semasa melaksanakan sembahyang jenazah:

1. Mengangkat kedua-dua belah tangan ketika bertakbir
2. Disunatkan membaca ta’awwuz, tetapi tidak disunatkan membaca Doa Iftitah
3. Membaca semua bacaan dengan suara rendah.
4. Mengucapkan “Amin” selepas membaca surah al-Fatihah
5. Berdiri dalam tiga saf atau lebih, sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW ketika menyembahyangkan raja al-Najasyi.
6. Tahmid sebelum selawat ke atas Nabi SAW
7. Doa ke atas muslimin dan muslimat selepas selawat ke atas Nabi
8. Sunat mendirikan sembahyang jenazah secara berjemaah, tetapi diharuskan melakukannya seorang diri.

Soal Jawab Berkaitan Sembahyang Jenazah
Berikut adalah beberapa persoalan yang berkaitan solat ini:

Bagaimana Niat Jika Tidak Tahu Jenazah Lelaki atau Perempuan?

Seumpama seseorang yang berada di masjid, kemudian diumumkan meminta para jemaah untuk sembahyang jenazah.

Sedangkan dia tidak kenal jenazah, bahkan dia tidak mengetahui adakah jenazah itu lelaki atau perempuan.

Dalam keadaan begini, tunaikanlah hajat mereka dan niatkan dalam hati:

> Sahaja aku solat ke atas jenazah yang disolatkan imam, 4 takbir fardu kifayah sebagai makmum kerana Allah Taala.

Siapakah Yang Layak Disolatkan Jenazahnya?

Jenazah yang wajib disolatkan adalah jenazah orang Islam.

Ia termasuklah jenazah yang keislamannya hanya dilihat daripada ibu bapanya yang Islam atau salah seorang daripada mereka Islam.

Boleh juga dilihat dari negeri tempat tinggalnya.

Begitu juga wajib didirikan solat ke atas orang Islam yang melakukan dosa besar dan orang yang dihukum mati oleh pemerintah

Hukum Menjadi Makmum Masbuk Dalam Sembahyang Jenazah

Makmum yang masuk lewat ketika imam sudah melakukan takbir sekali atau lebih daripada sekali takbir, makmum perlu bertakbir dan terus membaca al-Fatihah walaupun ketika itu imam bukan dalam takbir pertama.

Apabila imam memulakan takbir berikutnya sedangkan makmum belum sempat membaca al-fatihah, maka makmum perlu mengikut imam mengangkat takbir dan tidak perlu membaca al-Fatihah.

Apabila imam selesai dan memberi salam,makmum masbuktadi perlu menambah bilangan takbir dan bacaan-bacaannya.

Bilakah Waktu Sembahyang Jenazah?

Diharuskan solat jenazah pada semua waktu kerana solat ini adalah solat yang mempunyai sebab.

Anda boleh rujuk mengenai pembahagian waktu solat pada pautan ini: Panduan Pembahagian Waktu Solat

Hukum Wanita Mendirikan Sembahyang Jenazah

Hukumnya harus untuk wanita mendirikan solat jenazah.

Tetapi tidak memadai (tidak tergugur kefarduan) apabila hanya orang perempuan yang melakukannya sedangkan terdapat orang lelaki ketika itu.

Hukum Sembahyang Jenazah Selepas Mayat Dikebumikan

Apabila jenazah sudah dikebumikan sedangkan jenazah belum disolatkan lagi, maka harus disolatkannya di atas kubur.

Akan tetapi apabila jenazah yang belum disolatkan itu sudah dimasukkan ke dalam kubur tetapi belum ditimbus lagi, maka perlu dikeluarkan jenazah dan disolatkan.

Bagaimanakah Cara Solat Jenazah Ghaib?

Solat Jenazah Ghaib ialah solat ke atas jenazah yang tidak ditemui atau jauh tempatnya serta sukar untuk pergi ke sana.

Solat Jenazah Ghaib dilakukan sama seperti sembahyang jenazah biasa.

Menurut ulama mazhab asy-syafi’e sepertiImam an-Nawawi, jika mayat sudah dikebumikan dan seseorang itu masih belum melakukan solat jenazah ke atas mayat tersebut, maka sunat baginya melakukan solat ghaib untuk mayat tersebut.

Tetapi adalah makruh jika dilakukan solat ghaib itu di atas kubur, melainkan jika kubur itu adalah kubur para nabi dan orang yang mati syahid dalam peperangan.

Ibnu Qudamah (ulama mazhab Hanbali) mengatakan hukumnya adalah harus melakukan solat ghaib di atas kubur mayat tersebut.

Hujahnya:

> Abdullah bin ‘Abbas melaporkan, “Pada suatu hari Nabi Muhamad berhenti pada sebuah kubur, lalu para sahabat menyusun saf di belakang Baginda dan mereka menunaikan solat ghaib untuk mayat dalam kubur tersebut

— Riwayat Bukhari dan Muslim
? Kaedah perlaksanaan Solat Jenazah Ghaib boleh diikuti pada pautan ini: PANDUAN SOLAT JENAZAH GHAIB LENGKAP

Mengapa Tiada Rukuk dan Sujud Dalam Sembahyang Jenazah?

Solat jenazah adalah satu-satunya solat yang tiada rukuk dan sujud.

Hikmah tidak disyariatkan rukuk dan sujud padanya adalah supaya orang yang jahil tidak menyangka rukuk dan sujud itu untuk jenazah disebabkan kedudukan jenazah berada di hadapan orang yang solat.

Siapakah Orang Yang Afdal Menjadi Imam Sembahyang Jenazah?

Menurut mazhab Syafi’e, wali kepada jenazah lebihaula(utama) mensolatkan jenazah, kerana sembahyang jenazah adalah doa untuk si mati.

Doa kaum kerabat dab waris adalah lebih mudah dimakbulkan Allah Taala.

Susunannya seperti berikut:

1. Bapa
2. Datuk dan ke atas
3. Anak lelaki
4. Cucu dan ke bawah
5. Saudara lelaki seibu sebapa
6. Saudara lelaki sebapa
7. Anak lelaki saudara seibu sebapa
8. Anak lelaki saudara seibu.
9. Seterusnya mengikut tertib‘asobahdalam ilmu faraid.

Bagaimanakah Kedudukan Jenazah Dalam Sembahyang Jenazah?

Kedudukan jenazah dalam solat adalah seperti di bawah:

Ilustrasi kedudukan mayat untuk sembahyangkan. (Ensiklopedia A-Z tentang solat, Dr. Nik Yusri Musa)Jenazah perlu diletakkan melintang di hadapan Imam

Manakala imam dan makmum menghadap kiblat.

Kedudukan kepala jenazah adalah seperti berikut:

* Sebelah kanan bagi jenazah perempuan.
* Jika jenazah lelaki, kepalanya diletakkan disebelah kiri imam.

Sekiranya jenazah itu lelaki, imam perlu berdiri setentang dengan kepalanya dan sekiranya jenazah itu perempuan, imam perlu berdiri sententang dengan pinggangnya.

Berikut pula adalah kedudukan saf solat sunat jenazah mengikut bilangan makmum yang hadir

Ilustrasi kedudukan saf sembahyang jenazah (Ensiklopedia A-Z tentang solat, Dr. Nik Yusri Musa)

Hukum Mengerjakan Solat Jenazah Selepas Waktu Subuh Dan Asar

Parafuqahaal-Syafi’eyyah menyebutkan bahawa solat jenazah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dari sudut ia tidak terhad kepada waktu-waktu yang tertentu.

Bahkan kata Imam Al-Mawardi :

> Solat ke atas mayat, ia tidak terkhusus kepada waktu-waktu yang tertentu. Ia tidak dimakruhkan untuk dilaksanakan pada waktu-waktu yang tertentu. Dibolehkan untuk mengerjakan ia pada waktu-waktu yang dilarang solat padanya’’.

— RujukAl-Hawi al-Kabir, Al-Mawardi (3/48).
Oleh itu, hukum mengerjakan sembahyang jenazah selepas subuh ataupun asar adalah dibolehkan.

Ini kerana solat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sekalipun pada waktu yang dilarang kerana ia termasuk dalam kategori solat bersebab.

Huraian lengkap boleh dilihat pada pautan ini: HUKUM MENGERJAKAN SOLAT JENAZAH SELEPAS SUBUH DAN ASAR

Penutup
Ambillah pengajaran daripada setiap kematian yang berlaku.

Jangan hanya melihat dengan pandangan kosong, pandanglah dengan penuh keinsafan dan carilah hikmah disebaliknya.

* Adakah kita bersedia mengikut jejaknya?
* Adakah kita boleh berasa lega dengan anak cucu yang ditinggalkan?
* Adakah ada dalam kalangan mereka yang boleh alirkan pahala jika kita meninggal dunia?

Selain itu apabila berlaku kematian dituntut kepada kita untuk menguruskannya.

Lebih-lebih lagi kepada saudara-mara terdekat.

Berterima kasihlah kerana kita masih dikurniakan orang ‘masjid’ yang sudi menjadi pengurus kepada sesuatu kematian, biarpun bukan daripada kaum kerabatnya.

Semoga panduan ini dapat memberi manfaat kepada semua.

Rujukan

1. Kitab Jihazul Madihah (Persiapan yang terpuji) — Ustaz Azhar Idrus
2. Praktik Solat Jenazah & Pengurusannya — Zul Amran Omar
3. Panduan Solat Jenazah & Talqin — Ust Mohd Faez Mohd Shah al-Hashimi
4. Ensiklopedia Solat – Rohidzir Rais, Fuad Ismail & Mohd Wahid Abd Hanif
5. Ensiklopedia Solat: A-Z Tentang Solat — Dr. Nik Yusri Musa

Suka Apa Yang Anda Baca?
Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!

Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.